Scha Alyahya Akui Sudah Pandai Masak
Pelakon popular Scha Alyahya mengakui dia mulai belajar memasak sejak empat tahun lalu iaitu selepas berkahwin dengan Awal Ashaari.
Scha, 33, berkata, dia banyak menonton YouTube dan meminta resipi daripada ibunya.
“Kalau nak tahu sebelum berkahwin saya tak pandai langsung memasak. Nak menggoreng pun tak tahu! Pendek kata kalau saya cuba masak sesuatu masakan, semua tak menjadi.
“Jadi selepas berkahwin saya nekad untuk belajar. Bukan kerana memenuhi permintaan suami semata-mata, tetapi atas kesedaran sendiri. Lama-kelamaan ia menjadi rutin wajib saya.
“Memang pada mulanya agak sukar dan perlu mengambil sedikit masa, tetapi selepas banyak kali mencuba baru menjadi. Bagi saya menonton di YouTube lebih mudah berbanding melihat resipi. Bukan apa, resipi yang diberikan ibu banyak kepada cukup rasa, namun ia tetap membantu saya,” katanya.
Menurut Scha yang juga pengacara program Gempak Superstar, dia meluangkan waktu memasak sekiranya tidak terikat dengan jadual kerja yang padat.
Namun, dalam seminggu Scha tidak pernah gagal untuk berbuat sedemikian apatah lagi jika suaminya teringin sesuatu juadah.
“Walaupun tidak kerap, tetapi dalam seminggu mesti meluangkan masa untuk memasak. Kalau kebetulan tidak sibuk boleh dikatakan setiap hari saya memasak.
“Tambahan pula, Awal bukan jenis kuat makan. Jadi tak susah nak menguruskannya. Jarang sekali dia meminta saya memasak kecuali dia teringin sesuatu. Sebagai contoh dia selalu meminta saya buat ketam masak lemak.
“Juadah itu memang kegemarannya. Agaknya sebab terlalu sedap dia tak percaya ia dimasak oleh saya. Katanya ia seperti dimasak tukang masak profesional,” katanya ketawa.
Menurut Scha, dia jenis yang merancang terlebih dahulu sebelum menyediakan sesuatu juadah kerana di rumahnya tidak banyak bahan masakan.
“Selalunya saya sediakan tiga lauk. Menu yang wajib ada seperti ikan, sayur dan ayam. Kebiasaannya saya merancang nak masak apa. Di rumah saya tak semua bahan masakan ada, jadi perlu membeli lebih awal.
“Masakan Melayu menjadi pilihan kami sekeluarga seperti masak lemak, sambal dan menu bergoreng. Sesekali saya menyediakan mi bandung dan laksa. Kalau masakan Barat pula, suami yang lebih hebat,” katanya.
Scha yang juga pelakon drama Isteri VS Tunang memaklumkan anak perempuannya Lara Alana jenis yang tidak suka ke dapur.
Perkara itu memudahkan lagi Scha untuk memasak di dapur tanpa sebarang gangguan.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya, Scha bakal terbabit dalam penggambaran drama Urusan Hati Cik Drama Queen pada hujung bulan depan.
No comments: