Mat Moto Tampil Dengan Permasalahan Lebih Matang


Walaupun filem Mat Moto arahannya mencetuskan kontroversi tahun lalu, penerbit dan sutradara filem terkenal, Ahmad Idham tetap yakin dengan karya terbarunya Mat Moto Otai sekali gus menjanjikan kelainan buat penggemar filem tanah air.

Jika Mat Moto dijayakan muka baru seperti Niezam Zaidi, Along Eyzendy, Pablo Amirul dan Shenty Feliziana, kali ini, Mat Moto Otai mempertaruhkan barisan pelakon senior dan berpengalaman luas dalam dunia lakonan.


Selain Ahmad Idham selaku pengarah dan pelakon utama, Mat Moto Otai terbitan Aifa Motion Pictures Sdn Bhd diterajui Datuk Eizlan Yusof, Cat Farish dan Opie Zami.

Bagi pemilik nama sebenar Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Mat Moto Otai berbeza dengan jalan cerita Mat Moto yang pernah dipaparkan sebelum ini.

“Idea asal cerita ini daripada saya sendiri. Skrip pula ditulis Subroto Katimin. Filem ini ada mesej tersendiri kerana mengetengahkan isu gen Y yang suka merempit. Ia gejala sosial yang sukar dibendung.

“Kini muncul pula kelompok yang menggelar diri mereka mat moto yang ingin menepis persepsi masyarakat perihal dunia hitam mat rempit.

“Malangnya sehingga kini dunia mat moto yang cuba diangkat itu sering disalahertikan apabila mereka juga dilihat banyak menjurus kepada aktiviti rempit,” katanya.

Idham berkata, jika filem Mat Moto yang diketengahkan sebelum ini mengangkat nilai positif kumpulan mat motor yang dipandang serong masyarakat, Mat Moto Otai pula menampilkan permasalahan yang lebih matang.

“Filem ini mengisahkan empat sahabat berusia pertengahan umur yang mempunyai minat sama dalam dunia permotoran. Cerita ini juga mengenai perjalanan mereka sebagai Mat Moto Otai,” katanya.

Ditanya pemilihan barisan pelakon pula, kata Amad Idham, dia selesa bekerjasama dengan bintang berpengalaman dan pernah bekerja dengannya sebelum ini.

“Selain kami berkawan rapat, pemilihan pelakon juga mengikut kesesuaian jalan cerita dan pernah bekerjasama sebelum ini.

“Ketika dapat idea buat cerita ini, saya memang memilih untuk bergandingan dengan Eizlan. Cat Farish dan Opie juga pernah bekerjasama dengan saya ketika pementasan Impak Maksima.

“Dalam cerita ini, Eizlan memegang watak Sulaiman iaitu doktor pakar sakit puan, Opie pula Amir yang juga komposer lagu rock, Cat Farish pula ‘booker lumba Haram’ dan sering terbabit dalam perlumbaan haram.

“Namun, dia sudah insaf selepas melihat rakan baiknya mati kemalangan ketika merempit,” katanya.

Mengulas wataknya pula, kata Idham, dia tampil sebagai mekanik bernama Iskandar.

“Watak Iskandar juga menarik kerana dia bermula sebagai mekanik biasa. Dia kemudian melanjutkan pelajaran di Jerman untuk mendalami ilmu teknikal permotoran dan memiliki rangkaian produk permotoran di bawah nama Jopana.

“Iskandar berkahwin dengan Misha dan dikurniakan anak perempuan berusia 17 tahun.

“Sebagai pengarah dan penerbit, saya menjanjikan filem ini menghiburkan dan anda tidak akan kecewa apabila menontonnya di pawagam kelak,” katanya.

Mat Moto Otai turut dimantapkan dengan penampilan Sasha Saidin,Wan Sharmila, Elvina Mohamed dan Hairul Ceria Popstar. Ia akan menjengah pawagam seluruh tanah air pada 6 Oktober depan.

SINOPSIS:

Kisah bermula dengan empat lelaki pertengahan umur iaitu Iskandar, Sulaiman, Amir dan Macha mula berkenalan di balai polis apabila mahu menjamin anak masing-masing yang direman semalaman kerana merempit.

Sejak pertemuan itu, mereka menjadi rapat dan saling berkongsi pandangan bagi menyelesaikan masalah anak.

Anak mereka diarahkan melakukan khidmat komuniti sosial dalam usaha pihak berkuasa membetulkan sahsiah dan jati diri remaja itu.

Setiap kali melakukan aktiviti terbabit, setiap kali itulah bapa mereka akan menemani dengan perjanjian ikat jamin ketika direman itu.

Persahabatan mereka semakin kukuh apabila menggemari motosikal vintaj yang menjadi kegilaan pada zaman remaja.

Di sebalik mencari jalan penyelesaian masalah anak, mereka merancang satu konvoi bagi mengembalikan nostalgia bersama motosikal masing-masing.

Aktiviti itu seakan-akan tiupan semangat baru kepada mereka dan menemui nikmat kehidupan selepas berdepan krisis pertengahan umur.

No comments:

Powered by Blogger.