Individu Bergaduh Di Damansara Tiada Kaitan Dengan KDN
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan individu yang terlibat dalam satu pergaduhan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam tiada kaitan langsung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Zani Che Din yang mengesahkan perkara tersebut enggan mengulas lanjut berhubung motif kejadian.
"Saya tidak boleh ulas lanjut kerana kita masih lagi menjalankan siasatan berkenaan kes ini.
"Tak..tak.. Dia bukanlah orang yang ada kaitan dengan KDN. Setakat yang kita boleh sahkan masa ini, dia memang tiada kaitan. Itu sahaja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Tambahnya, lima individu yang ditahan semalam juga telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa Mohd Adli Effendy Mohd Zaki mendakwa dipukul sekumpulan lima lelaki hingga menyebabkan kecederaan di bahagian mata, muka, badan dan kakinya.
Selain mendatangkan kecederaan kepadanya, lima suspek tersebut juga didakwa menggunakan kekerasan dengan menolak dan memukul anaknya yang berusia tujuh tahun, isteri serta ibunya.
Memetik laporan polis yang dibuat Mohd Adli Effendy, kumpulan lelaki itu telah mengheret dan memaksa anaknya masuk ke dalam kereta untuk diserahkan semula kepada bekas isterinya.
Malah, dia mendakwa salah seorang daripada lima individu itu mendakwa sebagai pembantu peribadi kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri serta mengugut untuk menembak mangsa dan isterinya.
No comments: