Detik Cemas Dalam Pesawat India Telefon Bimbit Samsung Berasap
NEW DELHI: Sebuah telefon bimbit jenama Samsung yang berasap dilaporkan telah menyebabkan satu amaran kecemasan terpaksa dikeluarkan ke atas sebuah pesawat dari India.
Kejadian berlaku hanya beberapa minggu selepas pengeluar itu memanggil balik 2.5 juta unit model terbaharu keluarannya susulan masalah bateri yang terbakar sewaktu mengecas.
Jurucakap pesawat Airline IndiGo berkata syarikat penerbangan itu telah menangani insiden itu yang berpunca dari telefon bombing jenis Samsung Note 2 yang diletakkan di dalam bagasi salah seorang penumpang pesawat dari Singapura yang sedang menuju ke Chennai di India itu.
Model telefon itu bagaimanapun tidak sama dengan model yang telah dipanggil semula sebelum ini iaitu Samsung Note 7.
“IndiGo mengesahkan beberapa penumpang yang menaiki pesawat 6E-054 dari Singapura ke Chennai terhidu bau asap dari ruang kabin pagi ini dan segera memaklumkan kepada kakitangan kabin ,” menurut satu kenyataan syarikat penerbangan itu
“Kru kabin mendapati asap itu datangnya dari telefon Samsung Note 2 yang diletakkan di dalam bagasi salah seorang penumpang yang disimpan di bahagian menyimpan barang.”
Kakitangan syarikat itu telah menggunakan pemadam api sebelum merendamkan telefon itu di dalam air dan pesawat selamat mendarat secara normal.
Kejadian terbaharu ini dijangka memberikan tekanan kepada syarikat Korea itu yang menerima saingan hebat dari pengeluar lain seperti syarikat Apple dan pengeluar dari negara China.
No comments: