Penangan Orang Lama Masih Berbisa - Tom Hanks


“RUN Forest, run,” Itulah adalah dialog yang sangat popular dalam filem 90-an, Forrest Gump yang mana, dalam filem tersebut, Forrest disuruh berlari bagi mengelakkan diri daripada dibuli oleh sekumpulan pembuli.

Filem tersebut mengisahkan riwayat hidup individu lembap, Forrest Gump yang melakukan pelbagai perkara dalam hidup demi melunaskan impiannya.

Hanks yang menjadi Forrest Gump, berjaya membawa watak tersebut sehingga mendapat pujian daripada pengkritik filem dan dia dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Academy 1995.

Kita tidak boleh menafikan kehebatan Hanks dalam bidang lakonan kerana dia sudah berjaya memenangi pelbagai anugerah daripada pelbagai festival filem di seluruh dunia.

Bercerita mengenai riwayat hidupnya, Hanks dilahirkan di California, Amerika Syarikat (AS). Semasa di zaman sekolah, Hanks seorang pemalu dan rakan menggelarnya sebagai budak ‘skema’.

Ibu bapanya menghantar Hanks ke kolej Chabot di California untuk belajar dalam bidang teater bagi mengurangkan perasaan itu terhadap orang ramai.

Tindakan tersebut tampak berkesan apabila Hanks mulai aktif berlakon dan bergaul dengan rakannya. Beberapa tahun selepas itu, dia bertemu dengan seorang pemilik teater dan lelaki tersebut memberi cadangan kepadanya supaya Hanks bekerja dengannya.

Setelah berfikir panjang, Hanks akhirnya setuju bekerja dengan pemilik teater itu dan mengambil keputusan untuk berhenti belajar. Hasilnya, dia berjaya memenangi anugerah pertamanya, iaitu Pelakon Lelaki Terbaik Teater daripada Anugerah Pengkritikan Cleveland 1978 dalam pementasan teater Shakespeare’s The Two Gentlemen of Verona.

Askar ke juruterbang

Bertitik tolak dari situ, Hanks mengambil keputusan untuk berpindah ke New York, AS untuk mengembangkan kariernya. Melihat kebolehannya untuk berlakon semasa sesi uji bakat, Tom diangkat sebagai pendukung utama drama Bosom Buddies, yang juga drama pertamanya pada 1980.

Selepas itu, dia telah diberi peluang untuk menjadi pelakon utama dalam sebuah filem animasi, Splash pada tahun 1986, yang menceritakan seorang lelaki yang jatuh cinta kepada seorang perempuan separa ikan (mermaid).

Filem tersebut menerima sambutan yang mengagumkan apabila ia berjaya memperoleh keuntungan sebanyak AS$69juta (RM282.43juta).

Meskipun sudah berumur 60 tahun, Hanks masih lagi direbut oleh ramai pengarah untuk dijadikan hero utama di dalam filem mereka dan terbaru, dia akan muncul dalam filem, Sully.

Filem berkenaan mengisahkan seorang lelaki, Sully bersama seorang rakannya cuba menyelamatkan 155 penumpang sebuah kapal terbang daripada terhempas ke dalam laut.

Bagi mempersiapkan dirinya untuk membawakan watak Sully, dia terpaksa belajar memandu kapal terbang dengan cara yang betul.

“Saya dan Aaron terpaksa belajar beberapa jam sehari di dalam simulator kapal terbang untuk merasai menerbangkan pesawat dengan betul dan ini adalah satu pengalaman yang berharga buat saya,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.