Izreen Azminda Terharu Rita Rudaini Buat Kejutan


GENAP mencecah usia 31 tahun pada 30 Ogos lalu, pelakon versatil Izreen Azminda mengakui terharu atas kejutan yang diterimanya daripada rakan baik, aktres Rita Rudaini.

“Alhamdulillah atas ingatan dan jujurnya saya sendiri terkejut dengan ‘prank’ yang dilakukan rakan-rakan.

"Memang saya terkejut tetapi hargai atas ingatan buat saya. Doa dan harapan saya ialah semoga diri ini terus diberikan kesihatan yang baik agar dapat terus bekerja mencari rezeki buat keluarga, insya-ALLAH,” katanya.

Ditanya perihal soal pemilihan wataknya pula seiring dengan usia yang kian matang, pelakon yang mulai terlibat dalam Pencarian Dewi Remaja 2005/06 bersama Scha AlYahya ini mengakui mulai selektif di dalam pemilihan watak.

“Pada usia sekarang, rasanya sudah tiba masa untuk saya lebih selektif di dalam pemilihan watak dan bukan hanya main terima semata. Saya sudah lebih 10 tahun terlibat dalam dunia seni dan Alhamdulillah, rata-rata penggiat seni dan peminat sudah sedia maklum kemampuan saya sama ada watak baik atau sebaliknya.

“Jadi pada usia 31 tahun kini, rasanya saya lebih selesa membawa peranan yang lebih santai misalnya watak komedi," katanya.

Pun demikian, katanya, watak sebegitu juga ada cabaran tersendiri kerana dia perlu ‘mengikut rentak’ rakan pelakon lain yang rata-ratanya terdiri daripada pelakon komedi.

"Saya mulai dikenali menerusi watak berat. Apabila diberi peluang untuk berlakon peranan yang lain daripada sebelum ini, saya rasa teruja dan suka melakukannya,” kata Izreen yang kini bahagia bersama anaknya, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia 3 tahun.

Terbaru, Izreen bakal muncul menerusi telemovie Misiku Sado di samping Azriel Ismail untuk siaran TV9.

No comments:

Powered by Blogger.