3 Hari Tambang Percuma LRT Dari Laluan Kelana Jaya Bermula Selasa
KUALA LUMPUR: Pengguna tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dari stesen Gombak hingga Putra Heights berpeluang menikmati tambang percuma selama tiga hari mulai Selasa ini.
Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini berkata penumpang yang menukar laluan ke Sri Petaling, Ampang, Monorel, BRT Sunway di stesen bersepadu hanya perlu membayar perbezaan tambang perjalanan bagi ketiga-tiga laluan itu.
"Sama juga sekiranya penumpang datang dari laluan BRT Sunway, Sri Petaling, Ampang dan monorel yang ingin meneruskan perjalanan ke laluan Kelana Jaya, tambang percuma akan diberikan bagi sektor perjalanan di laluan Kelana Jaya," tambah kenyataan itu.
Laluan Kelana Jaya berintegrasi dengan laluan Sri Petaling di stesen Masjid Jamek dan Putra Heights.
Menurut kenyataan itu, bagi laluan BRT Sunway yang dikendalikan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, Rapid Bus Sdn Bhd, yang terhubung dengan laluan Kelana Jaya di stesen USJ 7, pengguna dengan bayaran tunai boleh mendapatkan token percuma di kaunter khidmat pelanggan.
Pengguna dengan bayaran tanpa tunai pula boleh menggunakan kad tanpa tunai seperti biasa, manakala pengguna dari laluan Kelana Jaya ke Sri Petaling, Ampang, Monorel, BRT Sunway boleh menggunakan kad tanpa tunai atau token dari mesin TVM.
Selain itu, Prasarana turut memberikan diskaun tambang sebanyak 50 peratus kepada pengguna perkhidmatan LRT, monorel dan BRT sebelum 7 pagi mulai 16 September ini.
No comments: