Warga Emas Maut Dilanggar Kereta Terbabas Rempuh Kediaman


PERMATANG PAUH: Seorang warga emas maut apabila sebuah kenderaan  jenis pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai mabuk terbabas dan merempuh kediamannya malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam di Jalan Sungai Dua, Permatang Pasir di sini, mangsa Mat Rasid Mat  Shariff,  67, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Menurut kakak mangsa, Kamariah Md Shariff, 68,  kejadian berlaku ketika  adiknya yang tinggal seorang diri  baharu selesai menunaikan solat dan sedang berbaring di atas sofa ruang tamu sambil  menonton televisyen sebelum pacuan empat roda itu merempuh masuk.

Menurut Kamariah lagi, adik lelakinya itu bekerja sebagai pembuat rumah tidak pernah berkahwin serta tinggal  berseorangan.

Kenderaan yang dipercayai dipandu laju itu dikatakan berlanggar dengan sebuah kereta lain sebelum terbabas dan merempuh rumah mangsa.

Pemandu  kenderaan pacuan empat roda jenis Suzuki Vitara  itu bagaimanapun terselamat dalam  kejadian  tersebut dan hanya mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid yang mengesahkan kejadian memaklumkan kemalangan itu kini disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Powered by Blogger.