Selipar Stephanie Cetus Pergaduhan


Apabila jadi selebriti, segala tindak tanduk jadi perhatian. Apa yang dipakai dan apa yang dikata. Kalau bergaya dipuji kalau tampil ringkas ada yang mencaci.

Itulah yang dilalui pelakon jelita Peru, Stephanie Cayo, 28, apabila teruk dikecam netizen di laman sosial Instagram gara-gara memuat naik gambarnya menjalani sesi fotografi hanya berselipar.

Dia disifatkan kurang senonoh memakai selipar ketika memenuhi tuntutan kerja menjadi penghias muka depan satu majalah.

Ada menyifatkan Stephanie tidak menghormati pihak yang mengundangnya kerana tidak memakai kasut bersesuaian dengan tema tetapi masih ada yang menyebelahi pelakon itu. Ternyata sekeping gambar di laman sosial boleh mencetuskan pergaduhan di antara peminat.

Stephanie akui terkejut apabila gambar itu mendapat perhatian ramai hanya kerana dia memakai selipar ketika jurugambar mengambil gambarnya.

Katanya, dia terlebih dulu bertanya sama ada boleh memakai selipar atau tidak. Dia sudah menyediakan beberapa pasang kasut sesuai dengan pakaian untuk sesi fotografi itu.

“Gambar yang saya muat naik itu ketika jurugambar mengambil ‘shot’ separuh badan. Bermakna bahagian kaki tidak ada dalam gambar yang diambil jurugambar profesional.

“Saya berkongsi gambar itu dengan memuat naik di laman sosial agar peminat dapat melihat aktiviti harian saya. Tidak sangka pula mendapat maklum balas negatif,” katanya.

Stephanie bukan hanya tergamam ketika melihat ramai memberi komen negatif tetapi terkejut kerana menyebabkan pergaduhan.

“Terima kasih kepada mereka yang memahami keadaan ketika itu dan saya harap penjelasan ini dapat meredakan suasana tegang di laman sosial.

“Hakikatnya, saya menyarung kasut sebenar apabila jurugambar ingin mengambil ‘shot’ penuh. Saya tidak dapat menipu diri sendiri kerana memakai selipar lebih selesa daripada kasut tumit tinggi,” katanya.

Katanya, dia juga selesa memakai kasut yang tidak bertumit mahupun berselipar ketika bersiar-siar atau ke pusat beli-belah. Selepas berjam-jam memakai kasut tumit tinggi dalam lakonan, dia ingin merehatkan kakinya.

“Saya bukan seperti pelakon lain yang akan sentiasa menjaga penampilan walaupun berada di luar lokasi penggambaran. Saya lebih selesa memakai sandal, berselipar dan kasut tanpa tumit untuk melakukan urusan lain.

“Merehatkan tubuh bukan hanya pada waktu tidur tetapi juga ketika melakukan aktiviti lain. Saya hanya memakai mekap tebal, pakaian cantik dan kasut tumit tinggi ketika menghadiri majlis formal atau memenuhi tuntutan kerja.

“Saya ingin menjaga kulit wajah. Kerap memakai mekap menyebabkan kulit rosak. Kasihan pori wajah saya tertutup dengan mekap. Ia menyebabkan muka saya berjerawat,” katanya.

Stephanie tidak menafikan wajah aset penting untuk mereka yang bergelar anak seni. Apabila mukanya berjerawat, dia akan hilang keyakinan diri.

Sebab itulah dia mementingkan penjagaan kulit. Dia bukan saja rajin ke pusat kecantikan tetapi juga mengamalkan makanan tambahan yang memberikan tenaga serta baik untuk kulit. Dia yakin ada banyak produk yang baik untuk kesihatan dan membantu serta melindungi kulit.

“Sebelum ke lokasi penggambaran, saya datang tanpa secalit mekap walaupun sekadar pelembap bibir. Saya cuma membuat sapuan krim pelindung kulit agar mekap itu tidak secara terus disapu ke kulit wajah.

“Apabila penggambaran selesai, saya membersihkan wajah menggunakan penanggal mekap. Saya tidak tunggu tiba di rumah baru bersihkan mekap. Apabila tiba di rumah, saya hanya perlu membasuh muka untuk menghilangkan sisa-sisa mekap,” katanya.

Dia juga mengambil makanan tambahan untuk menambah tenaga kerana sedar pekerjaannya banyak memerah tenaga. Dia juga pastikan dalam setiap makanan tambahan itu membantu membaik pulih kulit.

No comments:

Powered by Blogger.