Padah Ceroboh Tempat Larangan


Orang ramai yang melakukan aktiviti mendaki bukit di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH) di sini, diingatkan supaya tidak tersasar daripada menggunakan laluan trek dibenarkan pihak berkuasa.

Adun Kinrara, Ng Sze Han berkata, beliau dimaklumkan seramai 86 pendaki dicekup ketika operasi bersepadu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di hutan itu, Isnin lalu.

Menurutnya, kesemua mereka didapati menceroboh masuk ke kawasan larangan dalam hutan berkenaan termasuk di lokasi air terjun.

Sze Han berkata, ia bukan kali pertama pengunjung dicekup melakukan kesalahan itu, tiga bulan lalu sekumpulan pendaki turut dicekup kerana menceroboh kawasan larangan.

HSAH katanya, adalah hutan simpanan dan bukannya hutan rekreasi biasa, ia dipajak kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) selama 999 tahun dengan tujuan untuk membuat penyelidikan.

“Saya nasihatkan orang awam supaya ikut peraturan ketika berada dalam HSAH atau dikenali sebagai Bukit Wawasan ini, jangan ceroboh ke kawasan larangan. Jika mahu melakukan aktiviti pendakian, orang ramai dibenarkan melalui laluan trek sepanjang 2.8 kilometer sahaja,” katanya.

Tambah beliau, ramai pendaki tersesat apabila terkeluar dari laluan trek sedia ada.

Terbaharu, empat lagi pendaki dilaporkan sesat dalam hutan berkenaan, kelmarin.

“Setiap bulan pasti ada dua atau tiga kes pendaki sesat dalam hutan berkenaan. Pesanan saya, jangan keluar dari laluan trek dan tidak boleh bermalam kalau tak dapat permit dari agensi berkenaan.

“Saya kesal apabila diberitahu, lebih 200 pendaki masuk ke kawasan larangan pada cuti hujung minggu,” katanya.

Penduduk, Wong Khoi Seong, 55, berkata, dia menjadikan hutan itu sebagai tempatnya beriadah sejak setahun lalu.

Katanya, dia kecewa apabila ada orang di luar Puchong datang ke hutan berkenaan dan melanggar peraturan ditetapkan.

“Saya datang ke sini tiga kali seminggu, rasa kecewa bila lihat orang luar salah guna hutan ini dengan berkelah, memasak dan bermalam tanpa kebenaran pihak berwajib,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP), Alice Choo berkata, dia juga kesal apabila pernah terlihat aktiviti penebangan pokok oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam hutan tersebut.

“Mereka sebenarnya tidak boleh berbuat demikian, ini hutan yang menjadi bahan penyelidikan pihak UPM. Lebih menyedihkan apabila papan tanda amaran diletakkan pihak berkenaan, semua dicabut individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.