Jantung Hisyam Berdegup Kencang
Setiap pelakon pasti mengimpikan beraksi di samping beberapa bintang ternama tanah air.
Bagi jejaka kelahiran Singapura, Hisyam Hamid impiannya untuk bergandingan dengan primadona negara Erra Fazira akhirnya terlaksana apabila mereka bergandingan dalam drama bersiri Andartu Bidadariku.
Hisyam berkata, pada awalnya dia gementar beraksi di sisi Erra dan sama sekali tidak menyangka heroin filem Pasrah itu ramah dan merendah diri.
“Sebagai pendatang baru, pastinya ada senarai pelakon yang saya teringin berkolaborasi dan seorang daripadanya ialah Erra.
“Ketika dimaklumkan bakal bergandingan dengannya, jantung saya berdegup laju. Gementar pula bekerjasama dengan pelakon senior yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan.
“Asyik terfikir bagaimana saya mahu berdepan dengannya di lokasi nanti. Maklumlah saya masih hijau dan
banyak kekurangan. Namun rasa itu perlahan-lahan menghilang apabila dia rupa-rupanya peramah dan merendah diri.
“Selain itu, dia tidak kedekut ilmu. Kami selalu berbual di lokasi dan segala tip yang dikongsi Erra buat saya tidak kekok beraksi depan kamera,” katanya.
Kata Hisyam, dia cukup mengagumi sikap profesional dan ketelitian Erra sepanjang menjalani penggambaran.
“Saya kagum melihat personaliti dia yang serius ketika berlakon. Sikap merendah diri dan profesional itulah antara faktor mengapa Erra masih bertahan hingga kini.
“Segala nilai positif yang ada pada Erra memberi inspirasi kepada saya untuk bekerja lebih keras selepas ini,” katanya.
Menyentuh popularitinya yang kian meningkat selepas membintangi drama bersiri Abang Bomba I Love You yang bersiaran di Astro Ria baru-baru ini, Hisham berkata pengalaman lapan tahun berkhidmat sebagai anggota bomba di Singapura banyak membantunya menjiwai watak dengan berkesan.
“Sebaik saja melihat tajuk drama ini saya tidak ambil masa lama untuk menyatakan persetujuan. Bagi saya drama ini dekat di hati dan dapat menggunakan ilmu serta kepakaran yang ada bagi menghidupkan karakter.
“Alhamdulillah, episod pertama mencatat dua juta tontonan manakala episod akhir 3.2 juta tontonan.
“Saya gembira apabila ramai suka dengan watak Rayqal dan berterima kasih kerana mereka setia menonton hingga episod terakhir,” katanya.
No comments: