Aku Bukan Gila Duit!


Kota Bharu: “Kalau kita jujur, hidup pun tenang,” kata seorang suri rumah, Narizul Ishak, 51, yang menemui wang tunai RM1,000 di dalam sampul surat di belakang rumahnya di Kampung Kubur Maras di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, Narizul berkata, sebelum itu dia memetik daun mengkudu di belakang rumahnya untuk dijadikan ubat sakit perut.

Katanya, dia kemudian terlihat satu sampul surat di atas tanah sebelum mengambil dan membukanya.

“Saya terkejut apabila mendapati terdapat wang tunai dan kemudian membawanya kepada beberapa anggota polis yang tinggal menyewa berdekatan rumah.

“Pada mulanya, saya serahkan kepada mereka untuk diberikan kepada pihak berkuasa, namun mereka menyuruh saya sendiri ke balai polis.

“Saya kemudian dibawa ke balai polis untuk menyerahkan wang berkenaan kepada anggota bertugas dan membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kota Bharu di sini, semalam.

Terdahulu, Narizul menerima sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Balai Polis Kota Bharu, Asisten Superintendan Hasbullah Noor kerana sifat jujur dan prihatinnya itu.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, itu kejadian kali kedua selepas kali pertama menemui wang tunai RM50 di dalam tandas awam di pasar raya sebelum menyerahkannya kepada pihak pengurusan di situ.

“Mungkin Allah mahu menguji sejauh mana tahap kejujuran saya dan alhamdulillah, tidak terlintas sedetik pun dalam hati saya untuk menyimpan wang yang ditemui itu untuk kegunaan diri sendiri.

“Saya bukan mahukan pujian, tetapi kepada orang di luar sana, jujurlah, Insya-Allah hidup kita akan lebih diberkati,” katanya.

Sementara itu, Hasbullah berkata, orang ramai harus mencontohi sikap jujur dan amanah yang ada dalam diri Narizul.

“Kita menghargai sikap amanah dan jujur Narizul dan berharap, ia menjadi contoh kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.