Adira Mula Ceburi Bidang Perniagaan


SEJAK mendirikan rumah tangga, kelibat penyanyi dari negeri di bawah bayu ini jarang kelihatan.

Namun dalam diam, pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi ini giat menguruskan perniagaannya, Adira Beauty Skincare.

Menurut Adira, 25, produk kecantikan tersebut sudah pun berada di pasaran sejak Aidilfitri lalu.

“Sebelum saya berkahwin, saya memang terfikir menceburi bidang perniagaan dan selama lima tahun, saya cari bahan yang sesuai untuk dijadikan bahan produk kecantikan ini.

“Alhamdulillah, saya sudah jumpa ramuan yang saya mahukan untuk dijadikan Adira Beauty Skincare,” katanya selepas ditemui di majlis ulang tahun kelahirannya ke-25 di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur.

Tambahnya, set kecantikan tersebut sudah boleh didapati di seluruh Malaysia dan pada ketika ini, Adira Beauty Skincare mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Biarpun sibuk dengan perniagaannya, akui Adira, dia masih lagi aktif di dalam bidang seni dan meletakkan kariernya itu sebagai satu keutamaan.

Bahkan meskipun sedang hamil, isteri kepada Datuk Seri Adenan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red ini mendedahkan dia masih lagi aktif.

"Saya masih lagi menerima undangan nyanyian dan setakat ini masih larat untuk bekerja.

"Insya-ALLAH saya merancang untuk berehat sepenuhnya apabila usia kandungan mencecah lapan bulan," ujarnya.

Di tanya pengalaman hamil anak sulung, Naib Juara Akademi Fantasia musim kelapan ini berkata, dia tidak mengalami alahan teruk pada awal kehamilannya.

Katanya, dia belum membuat apa-apa persediaan untuk anak sulungnya seperti membeli pakaian.

“Namun saya ada membaca sedikit mengenai apa yang perlu dibuat semasa mengandung di internet. Selain itu, saya juga ada bertanya dan mendapatkan tip dari kakak-kakak saya.

"Saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak bongsu,” katanya yang kini hamil empat bulan.

No comments:

Powered by Blogger.