Semua Ahli Umno Tetap Menghormati Pemimpin Lama Tun M Tetapi..


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan tetap dihormati rakyat terutamanya ahli Umno meskipun beliau kini dilihat menjadi seteru kepada parti kerajaan itu.

Menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee apabila Mahathir memilih jalan bertentangan dengan parti, bekas Presiden Umno itu terpaksa menerima hakikat tindakannya itu akan ditentang Umno.

“Demi kuasa Umno untuk masa depan orang Melayu dan umat Islam, Umno terpaksa menentang mana-mana pihak yang cuba menghancurkannya termasuk Dr Mahathir.

“Penentangan atas sifat politik itu terpaksa berlaku dan pasti akan berlaku kerana Umno perlu menjaga survival politiknya dan Dr Mahathir pula kini berada di sebelah pihak lain,” katanya melalui kenyataan di blog Umno Cheras.

Menurutnya lagi, pemimpin dan ahli-ahli Umno mempunyai jiwa kental dan perasaan sayangkan pemimpin biarpun kadangkala kenyataan Mahathir itu menyakiti hati mereka.

Katanya, penghormatan terhadap jasa dan sumbangan Mahathir terhadap negara dengan penentangan politik merupakan perbezaan yang amat ketara.

“Tidak ada ahli Umno yang menafikan sumbangan dan jasa Dr Mahathir selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno paling lama dalam sejarah. Itu hakikatnya, tetapi apabila dia memilih haluan menentang Umno, maka Dr Mahathir terpaksa menempuh risikonya.

“Apabila kita memilih jalan yang tidak sehaluan, mahu tidak mahu salah satu daripada mereka akan berdepan dengan tentangan,” katanya.

Tuduhan Mahathir yang mendakwa pemimpin Umno menerima dedak daripada Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak, Syed Ali menyifatkan tuduhan itu bersifat subjektif.

“Adakala Dr Mahathir mungkin bermain dengan andaian tetapi telah dimanipulasikan pula oleh pihak berkepentingan yang berniat jahat terhadap Umno.

“Datuk Seri Najib akan melakukan apa sahaja untuk kepentingan rakyat dan ahli-ahli parti termasuk pemberian subsidi dan pelbagai bantuan semasa. Barangkali inilah yang disalah tafsir dan dilabelkan sebagai dedak,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.