Remaja Autistik Hilang Tiga Hari Minta Bantuan Orang Ramai
GOMBAK: Seorang remaja autistik, Afif Syafwan Burhanudin, 17, dilapor hilang dari rumahnya di Taman Selasih Fasa 1, Batu Caves, Jumaat lalu.
Ibunya, Nor Hasimah Abdul Mutalib, 49, berkata anaknya menyelinap keluar dari rumah kira-kira pukul 12 tengah malam.
Jelas Nor Hasimah, walaupun bukanlah kali pertama berlaku, namun anaknya tidak pernah hilang dalam tempoh yang lama sebegini.
"Autisme ini memang pandai tetapi dia hiperaktif. Umur dia 17 tahun dan itu menjadi kemungkinan untuk seorang remaja yang sentiasa rasa ingin keluar.
"Dia memang hendak keluar... sentiasa ambil kesempatan untuk keluar bila dia nampak emak dia tertidur. Dia selongkar kunci dalam beg tangan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Laporan polis juga sudah dibuat dan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan tersebut.
"Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang di mana siasatan sedang dijalankan. Setakat ini subjek masih belum dijumpai ," katanya.
Justeru, Nor Hasimah berharap sesiapa yang menjumpai anaknya untuk membawa ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubunginya menerusi talian tertera.
No comments: