Nahas 4 Maut Rempuh Lori Tangki Di Taiping


TAIPING: Empat maut dalam sebuah kemalangan yang melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara di Kilometer 209 arah Utara berhampiran Lebuhraya Bandar Baru-Changkat Jering pada petang Selasa.

Dalam kejadian sekitar 3 petang itu, mangsa, pemandu kenderaan, Azida Othman, 43, penumpang Muhammad Aiman Hakim Suhaimi, 19, Othman Hamid, 68, Aishah Arof, 68, maut serta-merta di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superitendan Wan Jamil Wan Chik berkata kemalangan tersebut berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa melanggar sebuah lori tangki yang diparkir di tepi jalan.

“Kenderaan mangsa telah merempuh sebuah lori tangki minyak yang rosak dan berhenti di tepi jalan dan menyebabkan kesemua mangsa di dalam kenderaan tersepit.

“Pihak perubatan mengesahkan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan kesemua mereka berusia di antara lingkungan 19 hingga 68 tahun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Selasa.

Pemandu lori tangki minyak berkenaan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Pegawai Bomba Kanan Rohaimi Basirun berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 3.10 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Sesampainya di tempat kejadian kami mendapati kenderaan mangsa telah merempuh bahagian belakang lori tanker yang diletakkan di lorong kecemasan berikutan rosak.
“Kesemua mangsa tersepit dan menggunakan alat pemotong kecemasan untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Astro AWANI.

Rohaimi berkata operasi tamat sepenuhnya sekitar 4.42 petang.

No comments:

Powered by Blogger.