Impian Saya Idam Anggota Bomba - Sharnaaz Ahmad


KATA orang, tak kenal maka tak cinta. Perumpamaan itu mungkin sesuai menggambarkan situasi dilalui aktor berbakat besar, Sharnaaz Ahmad.

Menurut Sharnaaz, penglibatannya sebagai anggota bomba bernama Khalid menerusi drama bersiri 13 episod, Hero secara tidak langsung menimbulkan rasa minat mendalam terhadap pasukan unit beruniform itu.

Ujar Sharnaaz, dia yang sebelum ini pernah mengimpikan untuk menjadi seorang askar sanggup melupakan impiannya itu demi menyertai pasukan bomba jika berkesempatan.

"Saya pernah membawakan watak sebagai anggota polis, unit marin, tetapi pengalaman berlakon di dalam drama Hero ini menimbulkan 'cinta' terhadap pasukan bomba.

"Apatah lagi, tugas bomba sebenarnya banyak dan ia secara tidak langsung telah mengajar saya erti pengorbanan.

"Askar pengorbanannya terhadap negara dan itu umum. Tetapi bila duduk dalam bomba, pengorbanannya adalah daripada seorang manusia kepada manusia lain.

"Bila ada sesuatu bahaya seperti kebakaran, banjir, ribut, bomba kena turun dahulu.

"Sebab itu, saya terus jatuh cinta terhadap pasukan bomba dan jika diberi kesempatan, saya mahu menyertai bomba," katanya baru-baru ini.

Selain Sharnaaz, turut sama berlakon dalam drama tersebut adalah Tiz Zaqyah, Fezrul Khan, Rusdi Ramli, Mimi Ernida dan ramai lagi.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam drama Hero, Sharnaaz mengakui pernah cedera ringan dan terpaksa mengatasi rasa takutnya terhadap air.

Bagaimanapun, semua itu pengalaman manis buatnya.

"Saya agak fobia terhadap air dan apabila saya perlu menyelam dan sebagainya, ia secara tidak langsung mengatasi rasa fobia tersebut.

"Apatah lagi, bekerjasama dengan pengarah tersohor seperti Bade Azmi beri satu pengalaman yang berharga buat saya.

"Saya sebelum ini, pernah berlakon dalam drama aksi, tetapi tidak puas seperti masa saya bekerja dengan Bade.

"Dia memang beri kebebasan buat saya melakonkan watak saya sendiri," katanya.

Ujar Sharnaaz, dia turut bangga dengan komitmen ditunjukkan Tiz di dalam drama itu.

"Saya tidak pernah bekerja dengan Tiz dan saya bangga dengan komitmennya.

"Saya boleh kata dia lebih berani dari saya. Semua babak dia redah sahaja dan saya sendiri pun ada teragak-agak.

"Selain daripada itu, di dalam drama ini nanti, anda akan lihat pelbagai perwatakan dan unit yang berlainan secara tidak langsung memberi pelbagai warna terhadap pasukan bomba," katanya.

Jelasnya, dengan drama sebegini, dia berharap pengorbanan bomba lebih dihargai dan pasukan bomba lebih dihormati kelak.

Sedia tamat zaman bujang

Ditebak hubungan cintanya dengan kakak Neelofa, Nor Nabila, Sharnaaz beri bayangan akan memasuki fasa baharu tidak lama lagi.

Sharnaaz yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-31, menyasarkan menamatkan zaman bujang sebelum menginjak usia 32.

"Saya tidak akan rahsiakan apa-apa daripada peminat dan media. Cuma buat masa ini, apa yang boleh saya beritahu, saya bersedia untuk menamatkan zaman bujang.

"Selebihnya, biarlah melalui keluarga mengikut adat dan saluran yang betul.

"Alhamdulillah, tidak ada halangan daripada kedua keluarga dan keluarga sudah sedia maklum mengenai hubungan kami.

"Jika segalanya semakin nyata dan hampir, saya akan menamatkan zaman bujang sebelum usia 32 tahun," katanya.

Ditanya keistimewaan Nabila di matanya, Sharnaaz berkata, mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain.

"Tipulah kalau kami kata kami tidak pernah gaduh dan berpisah, tapi akhirnya kami kembali bersama kerana kami merasakan kami saling memerlukan dan melengkapi.

"Atas faktor itu meyakinkan saya untuk menjadikan Nabila pasangan hidup," katanya.

No comments:

Powered by Blogger.