Filem Pekak Banyak Realiti Kehidupan OKU


PERTAMA kali melihat poster filem ini, bayangan penulis adalah mengenai kisah seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang kurang pendengaran dan jatuh cinta dengan seorang pelajar, namun kisah cinta mereka berakhir dengan tragis.

Namun sangkaan itu meleset sama sekali usai melihat keseluruhan jalan cerita filem ini yang penulis sifatkan sebuah karya berani.

Membawa sebuah kisah realiti kehidupan yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan mungkin di seluruh dunia melibatkan remaja masa kini, Pekak adalah naskhah berbeza.

Filem terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures ini, diarahkan Mohd Khairul Azri Md Noor atau lebih dikenali Kroll dan dijayakan pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Iedil Putra dan Amerul Affendi.

Pekak turut menampilkan Zaidi Omar, Joe Flizzow dan Chew Kin Wah.

Baru menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia sejak 1 September lalu, Pekak sudah pun merangkul anugerah Skrip Terbaik iaitu Khairul Azri dan Pelakon Lelaki Terbaik (Zahiril) di International Motivational Film Festival (IMFF).

Pekak juga sudah mendapat perhatian dunia apabila ia ditayangkan di World Premieres Film Festival Philippines dan Marche du Film 2016.

Ia mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Uda yang cacat pendengaran terpaksa menjadi pengedar dadah demi menampung kos pembedahan telinganya.

Takdir menemukan Uda dengan Dara, seorang pelajar sekolah bermasalah yang cuba bebas daripada kongkongan bapanya.

Bagaimanapun hubungan cinta mereka yang mula terjalin dihalang dunia yang penuh keganasan, seks dan dadah.

Pada pandangan penulis, elemen cinta diketengahkan Kroll hanya pada temanya sahaja.

Apa yang penting, banyak isu-isu melibatkan dadah, pergaulan, seks bebas dan keganasan dikupas secara lebih berani dan mendalam.

Apa yang pasti, setiap babak di dalam filem ini, memang berlaku dalam realiti masyarakat hari ini dan ia bukannya diada-adakan.

Pendek kata, sudah tiba masanya masyarakat membuka mata dan mengambil tahu apa yang berlaku di dalam kehidupan mereka dan mempunyai sedikit sikap menjaga tepi kain orang.

Contohnya, Kroll secara berani memaparkan permasalahan di sebuah penempatan yang mempunyai ramai jiran tetangga, namun tidak pernah menghiraukan apa yang mereka lakukan biarpun tinggal bersebelahan.

Selain itu, lakonan mantap para pelakon yang boleh penulis klasifikasikan sebagai kelas A, banyak membantu memantapkan lagi jalan cerita.

Penulis rasa sudah tiba masanya tumpuan dialihkan kepada Amerul yang tidak pernah gagal memberikan lakonan mantap dan berkesan.

Begitu juga dengan Zahiril, berjaya membawa watak sebagai lelaki pekak dengan baik sekali.

Penulis rasa, tiba masanya untuk penonton memberi peluang kepada filem seperti ini memonopoli industri berbanding karya stereotaip.

No comments:

Powered by Blogger.