Belilah Toyota Dahulu Jika Tidak Mampu Beli Ferrari - TMJ


KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihati kelab-kelab bola sepak di Malaysia untuk berbelanja mengikut peruntukan dan tidak berhutang.

Dalam satu sesi dialog yang dimuat naik di laman Facebook milik Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata dana sepatutnya datang daripada penaja yang ada syarikat atau perniagaan.

"Anda tidak perlu ada RM10 juta dan anda guna RM15 juta, kemudian terpaksa berhutang dan anda berjumpa (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak minta duit.

“Saya tahu kelab mana yang minta duit malah ada juga kelab dari pantai timur baru-baru ini, minta RM2 juta daripada kerajaan.

“Saya menegaskan dan memberi nasihat ini secara terbuka. Kepada Perdana Menteri, jangan dilayankan permintaan itu kerana wang kerajaan adalah wang rakyat untuk perubatan, pendidikan dan semua hal ehwal rakyat, bukannya bola sepak,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa dana untuk pasukan beliau iaitu Johor Darul Ta'zim F.C. (JDT)  adalah daripada penaja dan pelabur asing di Johor.

Justeru itu, beliau menasihati agar kelab lain tidak belanja secara berlebihan.

“Nasihat saya kepada kelab-kelab lain, sekiranya anda mempunyai RM10 anda perlu menggunakan RM5 sahaja dan menyimpan bakinya, bukannya ada RM10 tetapi menggunakan sebanyak RM15 dan terpaksa berhutang.

“Jikalau tidak mampu membeli Ferrari, belilah Toyota dahulu,” kata Tunku Ismail.

No comments:

Powered by Blogger.