Bank Rakyat Jalankan Siasatan Dalaman Dalang Pemalsuan Dokumen
KUALA LUMPUR: Bank Rakyat sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap enam orang pekerja bank itu yang didakwa terlibat dalam pemalsuan dokumen bagi kelulusan pembiayaan peribadi di cawangan Likas dan Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut kenyataan bank itu di sini hari ini, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka sekiranya didapati bersalah termasuk ditamatkan perkhidmatan.
"Pada masa yang sama, operasi perbankan Bank Rakyat tetap berjalan seperti biasa dan tidak terjejas berikutan isu tersebut," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut Bank Rakyat akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa terhadap siasatan yang sedang dijalankan.
Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kota Kinabalu menahan tujuh pegawai dan seorang bekas pegawai sebuah bank kerana disyaki memalsukan dokumen pinjaman bank. -Bernama
No comments: