Aishah Utamakan Keluarga Dahulu


Tidak mudah bergelar pelakon, apatah lagi mencipta nama di persada seni. Ketika nama meniti populariti, rebut peluang yang ada untuk terus mengukuhkan nama.

Jarang kita lihat pelakon yang berjaya berehat bagi tempoh yang lama, bimbang nama dilupakan dan mungkin populariti menurun.

Bagaimanapun, tidak bagi Aishah Ilias yang berani mengambil risiko. Selesai sahaja penggambaran Cinta Ibadah, dia menjalankan komitmen terakhirnya melakonkan watak Afiqah dalam telefilem Dalam Pelukan Ramadhan.

Selepas itu, Aishah memutuskan untuk bercuti selama setahun untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Katanya, dalam tempoh yang panjang itu dia bersama keluarga dan terpaksa disiplinkan diri menggunakan simpanan yang ada untuk menampung keperluan diri.

“Menyesal? Sudah tentu tidak pernah menyesali pilihan itu. Saya juga tidak ada sebarang perancangan lain dalam tempoh itu. Saya mahu menggunakan masa itu sepenuhnya untuk lari daripada kesibukan sebagai pelakon dan berada di samping keluarga.

“Bagi saya, setahun itu tidak lama. Sepanjang tempoh itu pun boleh dikatakan banyak juga tawaran yang datang tetapi saya terpaksa tolak,” katanya.

Aishah juga berehat panjang kerana tempoh penggambaran Cinta Ibadah terlalu lama membabitkan 130 episod. Ketika itu dia pulang ke rumah hanya untuk tidur kemudian keesokannya kembali ke lokasi penggambaran.

“Ketika itu saya terpaksa ketepikan keluarga. Kini ada masalah yang timbul membabitkan keluarga dan dalam situasi ini, saya wajib memilih keluarga.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan saya pun kembali berlakon. Tidak ada apa-apa yang perlu disesali dengan keputusan ini kerana ia untuk kebaikan.

“Saya bersyukur kerana masih ada pengarah yang tidak pernah melupakan saya. Ketika ini saya menjalani penggambaran Nasi Minyak Kuah Kacang,” katanya.

Dengan kehadiran pelakon baru, Aishah bersyukur dia tidak perlu melobi atau menghadiri uji bakat untuk mencari peluang. Dia percaya rezeki tetap ada dan reda seandainya tidak lagi diperlukan dalam industri.

Selesai penggambaran siri Meh Bersandar Pada Aku, Aishah kemudian terus ke lokasi Nasi Minyak Kuah Kacang. Rezeki datang mencurah-curah tetapi buat masa ini Aishah belum sepenuhnya bersedia untuk memberikan komitmen seperti dahulu.

Buat sementara waktu, Aishah memilih karakter pelakon pembantu kerana babak yang tidak terlalu banyak tetapi sedia mempertimbangkan watak utama andai sesuai dengan masa.

“Walaupun beberapa kali menjadi tunjang utama sesebuah naskhah, ia tidak menjadi masalah kalau saya hanya berlakon watak pembantu.

“Saya belum bersedia memberikan 100 peratus komitmen pada lakonan. Keluarga masih memerlukan saya. Kalau saya memegang watak utama, penggambaran membabitkan saya pasti mengambil masa yang lama.

“Saya tidak mahu menyusahkan seluruh produksi hanya kerana masalah jadual saya. Lebih baik saya mengambil langkah selamat. Saya perlu berhati-hati supaya dapat membahagikan masa bersama keluarga,” katanya.

Kembalinya ke dunia hiburan tanpa mengharapkan apa-apa. Dia sedar bila-bila masa sahaja namanya mungkin dilupakan tetapi Aishah bernasib baik peminat tidak pernah melupakannya. Malah mereka menunggu kemunculannya semula.

Kata Aishah, dia juga kurang aktif mengemas kini laman sosialnya dan bukanlah seorang yang gemar mengambil gambar sendiri untuk dimuat naik.

Mengenai pasangan hidup, Aishah akui pernah memasang impian untuk menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun tetapi sehingga kini belum bertemu pasangan hidup yang menepati ciri-ciri lelaki idamannya.

Katanya, tiada lelaki yang berani mendekatinya mungkin mereka beranggapan dia sudah dimiliki atau menuntut perbelanjaan tinggi, sedangkan hakikatnya tidak begitu.

“Rasanya satu sebab ramai pelakon wanita yang masih solo kerana lelaki yang mempunyai ciri-ciri idaman itu tidak berani untuk mendekati. Apabila berjumpa dengan lelaki baik, mereka pula sudah dimiliki,” katanya bergurau.

No comments:

Powered by Blogger.